Wednesday, February 23, 2011

SIFAT 20 BAGI ALLAH

Sifat-sifat Allah yang wajib diketahui oleh orang-orang Islam yang terkandung di dalam al-Quran berjumlah 20 sifat. Termasuk juga sifat-sifat Mustahil yang wajib diketahui.

BIL : 1
SIFAT WAJIB : WUJUD
MAKNA : Ada
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu ada. Mustahil Allah itu tiada.

BIL : 2
SIFAT WAJIB :QIDAM
MAKNA : Sedia
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu sedia ada. Mustahil didahului oleh Adam (tiada)

BIL : 3
SIFAT WAJIB : BAQA
MAKNA : Kekal
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu bersifat kekal. Mustahil ia dikatakan fana (binasa)

BIL : 4
SIFAT WAJIB : MUKHALAFATUHU LILHAWADIS
MAKNA : Tidak sama dengan yang baharu
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu tidak mempunyai sifat-sifat yang baharu yakni dijadikan dan dihancurkan. Mustahil bersamaan dengan yang baharu.

BIL : 5
SIFAT WAJIB : QIYAMUHUU BINAFSIH
MAKNA : Berdiri dengan dirinya sendiri
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu bersendiri. Mustahil tidak berdiri dengan dirinya sendiri atau berdiri pada lainnya.

BIL : 6
SIFAT WAJIB : WAHADAANIYAT
MAKNA : Esa
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu Maha Esa Dzat-Nya, Esa sifat-Nya dan esa juga perangai-Nya. Mustahil ia mempunyai Dzat, sifat dan perangai yang berbilang-bilang.

BIL : 7
SIFAT WAJIB : QUDRAT
MAKNA : Kuasa
SIFAT MUSTAHIL : Alah Taala itu Maha Berkuasa. Mustahil Allah itu lemah atau tidak berkuasa.

BIL : 8
SIFAT WAJIB : IRADAT
MAKNA : Menentukan
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu Menentukan segala-galanya. Mustahil Allah Taala itu terpaksa dan dipaksa.

BIL : 9
SIFAT WAJIB : ILMU
MAKNA : Mengetahui
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu amat mengetahui segala-galanya. Mustahil Allah tidak mengetahui.

BIL : 10
SIFAT WAJIB : HAYAT
MAKNA : Hidup
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu sentiasa hidup yakni sentiasa ada. Mustahil Allah Taala itu tiada atau mati.

BIL : 11
SIFAT WAJIB : SAMA
MAKNA : Mendengar
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu tidak tuli (pekak). Mustahil Allah tuli atau tidak mendengar.

BIL : 12
SIFAT WAJIB : BASAR
MAKNA : Melihat
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu sentiasa melihat. Mustahil Allah Taala itu buta.

BIL : 13
SIFAT WAJIB : KALAM
MAKNA : Berkata-kata
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu berkata-kata. Mustahil Allah Taala itu tidak bercakap atau bisu.

BIL : 14
SIFAT WAJIB : QOODIRUN
MAKNA : Maha Kuasa
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu amat berkuasa sifatnya. Mustahil bagi Allah memiliki sifat lemah atau tidak berkuasa.

BIL : 15
SIFAT WAJIB : MURIIDUN
MAKNA : Menentukan
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu berkuasa menentukan apa yang dikehendakinya. Mustahil sifatnya terpaksa atau dipaksa.

BIL : 16
SIFAT WAJIB : AALIMUN
MAKNA : Maha Mengetahui
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu maha mengetahui. Mustahil Allah Taala itu jahil atau tidak mengetahui.

BIL : 17
SIFAT WAJIB : HAYUUN
MAKNA : Hidup
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu Maha Hidup dan menghidupkan alam ini. Mustahil pula Allah itu mati.

BIL : 18
SIFAT WAJIB : SAMI'UN
MAKNA : Mendengar
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu maha mendengar. Mustahil jika Allah Taala tidak mendengar atau tuli.

BIL : 19
SIFAT WAJIB : BASIIRUN
MAKNA : Melihat
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu melihat semua kejadian di muka bumi. Mustahil jika sifat Allah itu tidak melihat atau buta.

BIL : 20
SIFAT WAJIB : MUTAKALLIMUN
MAKNA : Maha Berkata-kata
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu berkata-kata. Mustahil jika Allah Taala bisu atau tidak boleh berkata-kata.

SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu ada. Mustahil Allah itu tiada.

Saturday, December 4, 2010

HATI

NASIHAT IBNU QAYYIM DI DALAM HATI MANUSIA ....
Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah SWT.

Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan dengan Allah SWT.

Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali seronok mengenali Allah SWT.

Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa denganNya.

Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan laranganNya serta qadha dan qadarNya serta kesenantiasa sabar sehingga menemuiNya.

Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepadaNya dan bermohon kepadaNya.

Info : Dari buku ; Nasehat Keimanan Ibnu Qayyim karangan Ali bin Muhammad As-Dihami terbitan Shafa Publishing.



Hati manusia dewasa mempunyai berat antara 1.3 - 3.0 kilogram. Ia adalah organ lembut berwarna perang kemerahan. Hati merupakan organ kedua terbesar dalam tubuh manusia. Di dalam kitab suci al-Quran, Allah s.w.t menjelaskan kepada Rasulullah s.a.w tentang kedegilan kaum kafir yang mahu berterusan dalam kehidupan mereka yang liar dan buas, tidak mahu mendengar seruannya untuk beragama dengan agama tauhid dalam membentuk moral dan memperbaiki kehidupan mereka, malah berusaha menyakiti baginda dan mencuba menggagalkan misi baginda, maka Allah swt menegaskan bahawa mereka itu adalah merupakan golongan yang ‘sakit hatinya, lalu Allah tambahkan penyakit hati mereka, supaya mereka akan merasa segala kepedihan seksa dan azab Allah nanti..
(lihat ayat 10, surah al-Baqarah)

Rasulullah SAW bersabda, "Dalam diri manusia itu ada segumpal darah, yang apabila baik maka baik seluruhnya, tetapi apabila buruk maka buruk seluruhnya, itulah hati". [HR. Bukhari]

Wednesday, December 1, 2010

Kisah Putera Khalifah Harun Ar Rasyid

Tersentuh hati ini, bila membaca kisah putera kepada Khalifah Harun Ar Rasyid. Sekitar umurnya 16 tahun dia sering bergaul dengan para ahli zuhud dan tokoh-tokoh agama pada masa itu. Sering mengunjungi tanah kuburan, duduk ditepi kubur dan berkata,

Ada masanya ketika kamu tinggal di dunia ini dan kamu sebagai tuannya, tetapi ternyata dunia tidak melindungimu dan nasibmu berakhir di kubur. Seandainya aku tahu apa yang engkau alami sekarang ini, tentu aku ingin mengetahui apa yang kamu katakan dalam menjawab pertanyaan-pertanyaan yang ditanyakan kepadamu."

Dia sering membaca syair : Perkuburan telah menakutkanku setiap hari dan ratapan wanita-wanita yang berduka cita membuatku sedih.



Di suatu hari, anak itu datang ke istana ayahnya Harun Ar Rasyid, yang sedang duduk bersama pengawal peribadinya, orang-orang besar istana dan tetamu terhormat. Namun puteranya itu berpakaian sangat sederhana, dengan hanya serban di kepalanya. Ketika orang-orang istana itu melihat keadaannya mereka berkata, "Keadaan anak ini menghina Amirul Mukminin di hadapan para bangsawan, jika ia dapat memperingatkannya, mungkin anak itu akan menghentikan kebiasaannya."


Khalifah mendengar ucapan itu, maka ia berkata kepada anaknya, "Anakku sayang, engkau telah memalukan aku di hadapan para bangsawan". Anak itu tidak berkata sepatah kata pun atas ucapan ayahnya. Bahkan ia memanggil seekor burung yang bertenggek berdekatan kawasan tersebut, "Wahai burung, aku memohon kepadamu, demi Dzat yang menciptakanmu, datanglah dan duduklah di atas tanganku."



Burung itu terbang menghampirinya dan hinggap di atas tangannya. Kemudian anak itu menyuruhnya terbang lagi, dan burung itu pun terbang lagi ke tempatnya semula. Kemudian dia berkata kepada ayahnya, "Ayahku sayang, sesungguhnya kecintaanmu kepada dunia inilah yang memalukan diriku. Aku telah memutuskan untuk berpisah denganmu." Setelah berkata demikian, ia pergi hanya berbekal Al Quran saja.



Ketika ia memohon kebenaran kepada ibunya untuk keluar dari istana, ibunya memberi sebuah cincin yang sangat indah dan mahal, (agar ia dapat menjualnya jika ia memerlukan duit). Anak laki-laki itu pergi ke Basrah, dan bekerja bersama para buruh. Namun dia hanya bekerja pada hari Sabtu saja. Digunakan upahnya sehari untuk perbelanjaan selama seminggu, dengan menggunakan (satu danaq) seperenam dirham setiap hari.



Kisah selanjutnya diceritakan oleh Abu Amir Bashri rah.a., ia berkata,


"Pada suatu ketika, sebelah dinding rumahku roboh dan aku memerlukan seorang tukang batu untuk memperbaikinya. Ada seseorang yang memberitahuku bahawa ada seorang anak lelaki yang dapat mengerjakan pekerjaan tukang batu. Maka aku pun mencarinya. Di luar kota, aku melihat seorang pemuda tampan sedang duduk di tanah sambil membaca al Quran dengan sebuah beg di sisinya. Aku bertanya, apakah engkau mahu bekerja sebagai buruh? dia menjawab, " Sudah tentu, kita telah diciptakan untuk bekerja. Pekerjaan apakah yang tuan inginkan untukku?"


Aku katakan bahawa aku memerlukan seorang tukang batu untuk mengerjakan bangunan.  Pemuda itu berkata, "Aku mahu pekerjaan itu asalkan upahku satu dirham dan satu danaq sehari. Dan aku akan berhenti kerja dan pergi ke masjid bila tiba waktu solat, kemudian akan ku sambung pekerjaan tersebut setelah selesai solat." Aku menyetujuinya.


Akhirnya dia ikut bersamaku dan mulai mengerjakan dinding itu. Pada esok harinya, aku kembali, dan aku sangat terkejut melihat bahwa dia telah melakukan pekerjaan seperti sepuluh orang tukang batu yang mengerjakannya. Aku memberi upah kepadanya dua dirham. Tetapi dia menolak upah yang melebihi satu dirham dan satu danaq. Kemudian dia pergi hanya dengan upah yang telah disetujui.


Keesokan paginya, aku pergi lagi mencarinya, tetapi aku diberi tahu bahwa ia hanya bekerja pada hari Sabtu saja. Dan tiada seorang pun yang dapat menemukannya pada hari-hari lainnya. Karana aku sangat berpuas hati dengan pekerjaannya, maka aku mahu dinding rumahku di kerjakan olehnya pada Sabtu depan. Pada hari Sabtu itu, aku mencarinya lagi dan aku dapati dia berada di tempat yang sama sedang membaca al Quran sebagaimana biasa. Aku mengucapkan salam kepadanya, "Assalamu Alaikum". "Wa Alaikumus Salam". Balasnya.

Dia bersedia bekerja lagi untukku dengan syarat yang sama. Dia pun ikut bersamaku dan mulai mengerjakan dinding itu lagi. Aku merasa hairan bagaimana dia dapat mengerjakan pekerjaan sepuluh orang pekerja seorang diri seperti pada hari Sabtu yang lalu, maka aku pun mengintipnya bekerja tanpa pengetahuannya. Aku melihatnya dengan sangat takjub, bahawa ketika ia meletakkan adukan simen ke dinding, maka batu-batu itu dengan sendirinya menyatu. Akhirnya aku sedar dan meyakini bahawa anak itu adalah kekasih Allah Swt. Sebagaimana hamba-hamba-Nya yang khusus saja yang mendapatkan pertolongan ghaib seperti itu dari Allah Swt.

Keesokan harinya, aku ingin memberinya tiga dirham, tetapi dia hanya mengambil satu dirham dan satu danaq kemudian pergi, sambil berkata, "Aku tidak memerlukankan lebih dari ini." Aku menunggu minggu berikutnya, lalu aku mencarinya pada Sabtu berikutnya, tetapi aku tidak menemukannya.

Aku bertanya kepada orang berdekatan di situ. Ada seorang lelaki memberitahuku bahawa  pemuda itu sedang mengalami sakit selama tiga hari dan berbaring di tempat yang sepi. Kemudian aku membayar seseorang untuk menghantarkanku ke tempat tersebut. Setibanya di sana, aku melihat dia sedang berbaring di atas tanah dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kepalanya berbantalkan sepotong batu. Aku memberi salam kepadanya, tetapi dia tidak membalasnya. Aku berkata, "Assalamu Alaikum." lebih keras lagi. Dia membuka matanya sedikit dan mengenaliku. Aku baringkan kepalanya di pangkuanku, tetapi dia kembali meletakkan kepalanya di atas batu, dan membaca beberapa syair. Dua diantaranya masih kuingat, berbunyi demikian :

"Wahai kawanku, janganlah engkau terpedaya dengan kemewahan dunia. Karena hidupku akan berlalu. Kemewahan hanyalah untuk sekejap mata. Dan bila engkau mengusung jenazah ke pemakaman, ingatlah suatu hari engkau pun akan diusung ke pemakaman."

Kemudian anak itu berkata kepadaku, "Abu Amir! Jika rohku telah melayang, mandikanlah aku dan kafanilah aku dengan pakaian yang kupakai sekarang."

Sahutku, "Sayangku, aku tidak keberatan membelikan kain baru untuk kafanmu."

Dia berkata, "Orang yang masih hidup lebih menginginkan pakaian yang baru daripada yang mati."

Anak itu menambah lagi, "Kafan (lama ataupun baru) akan segera membusuk. Yang tinggal dengan seseorang setelah kematian adalah amal perbuatannya. Berikan serban dan kendi airku kepada penggali kuburku dan jika engkau telah memakamkanku, sampaikan al Quran dan cincin ini kepada khalifah Harun Ar Rasyid. Tolonglah berikan terus ke tangannya dan katakan kepadanya, "Benda-benda itu dipercayakan kepadaku oleh seorang lelaki asing yang memintaku untuk menyampaikannya kepada engkau dengan pesan, "Wahai ayah, perhatikanlah, jangan sampai engkau meninggal dalam kelalaian dan terpedaya oleh dunia."

Dengan kata-kata itu di bibirnya, anak itu meninggal dunia. Saat itu barulah aku sedari bahawa anak itu adalah seorang bangsawan.

Setelah wafat, akupun memandikannya, mengkafankannya dan membaringkannya dalam kubur sesuai dengan pesannya. Lalu kuberikan serban dan kendi airnya kepada penggali kubur. Kemudian aku pergi ke Baghdad untuk menyampaikan cincin dan al Quran kepada khalifah.

Sungguh beruntung, setibanya aku di sana, baru saja iringan khalifah keluar istana. Aku berdiri di sebuah tempat yang agak tinggi sambil memperhatikan rombingan itu. Tidak lama kemudian keluarlah satu pasukan terdiri dari seribu orang berkuda, diikuti oleh sepuluh pasukan lagi yang masing-masing terdiri dari seribu orang berkuda.

Diantara pasukan yang terakhir, terlihatlah Amirul Mukminin, maka aku pun  terus memanggilnya dengan berteriak, "Amirul Mukminin, aku mohon kepadamu, atas nama hubungan kekeluargaan dengan Rasulullah Saw., berhentilah sebentar."

Amirul Mukminin berhenti dan melihat sekeliling, lalu aku maju ke depannya dan menyerahkan kedua benda amanat dari almarhum putera pangeran itu, lalu aku berkata, "Benda-benda ini telah dipercayakan kepadaku oleh seorang pemuda asing yang kini telah meninggal dunia, dia berwasiat agar benda-benda ini disampaikan langsung ke tangan tuan."

Khalifah memandang cincin dan al Quran itu sambil menundukkan kepalanya dengan sedih. Aku melihat air matanya mengalir, kemudian ia menyuruh pengurus istana untuk menghantarku ke istananya. Aku tinggal bersama pengurus istana itu.

Setelah khalifah kembali pada esok harinya, dia menyuruh agar tirai-tirai istana diturunkan, dan menyuruh pengurus istana agar agar membawaku ke hadapannya, kemudian ia berkata, "Lelaki itu hanya akan menimbulkan kesedihan bagiku."

Pengurus istana menemuiku dan berkata, "Amirul Mukminin memanggilmu, namun ingatlah, jiwanya sedang bergoncang. Jika engkau ingin mengatakan sesuatu dalam sepuluh kata, cubalah mengatakannya dengan lima kata saja."

Kemudian ia menghantarkanku ke bilik peribadi khalifah. Kulihat khalifah sedang duduk seorang diri, lalu dia menyuruhku untuk duduk di dekatnya dan bertanya kepadaku, "Apakah kamu mengenal anakku?"

Jawabku, "Ya."

dan bertanya lagi, "Apa yang telah dilakukannya untuk menyara hidupnya?"

Kukatakan bahawa dia bekerja sebagai tukang batu. Amirul Mukminin bertanya, "Apakah engkau juga pernah mengupahnya sebagai tukang batu?"

Aku berkata, "Ya, pernah."

Amirul Mukminin berkata, "Apakah tidak terfikir olehmu, bahawa ia berhubungan keluarga dengan Rasulullah Saw.?" (Harun Ar Rasyid adalah keturunan Abbas r.a. saudara Rasulullah Saw.)

Jawabku, "Wahai Amirul Mukminin! Pertama aku memohon ampun kepada Allah Swt. dan aku meminta maaf kepadamu, kerana aku mengetahuinya setelah dia meninggal dunia."

Khalifah berkata, "Apakah engkau memandikannya dengan tanganmu sendiri?"

Aku berkata, "Ya."

Ia berkata, "Biarlah kusentuh tanganmu." Kemudian ia memegang tanganku ke dadanya dan mengusap-usap dadanya dengan tanganku, lalu ia membaca beberapa bait syair yang bunyinya :

"Wahai engkau yang menjauhkan dariku.
Hatiku larut dalam kesedihan atasmu.
Mataku mengalirkan air mata penderitaan.
Wahai engkau yang jauh pemakamannya.
Terlalu jauh. Kesedihanmu lebih dekat di hatiku.
Benar, kematian itu membingungkan kesenangan yang tertinggi di dunia.
Wahai anakku yang menjauh dariku.
Engkau bagai bulan yang tergantung di atas dahan perak.
Bulan telah menetap di kubur, sedang dahan perak menjadi debu."

Kemudian Harun Ar Rasyid memutuskan untuk pergi ke Basrah mengunjungi makam puteranya dan aku menemaninya. Ketika berdiri di sisi makam puteranya, Harun Ar Rasyid membaca syair berikut ini :

"Wahai pengembara ke alam yang tidak diketahui.
Tidak akan engkau kembali ke rumah.
Kematian telah merengutmu di awal masa remajamu.
Wahai penyejuk mataku, engkaulah pelipur laraku.
Kediaman hatiku, di kesunyian.
Engkau telah merasakan racun kematian.
Yang seharusnya ayahmulah yang minum di usia tuanya.
Sungguh setiap orang akan merasakan kematian.
Apakah ia seorang pengembara atau penduduk kota.
Segala puji bagi Allah Yang Esa. Yang tidak mempunyai sekutu.
Kerana ini adalah bukti dari keputusannya."

Pada malam berikutnya setelah menunaikan kebiasaan ibadah harianku, dalam tidurku aku bermimpi melihat sebuah istana berkubah penuh nur. Di atasnya ada awan dari nur yang menaunginya. Dari awan nur itu keluarlah suara almarhum pemuda itu yang berkata, "Abu Amir, Semoga Allah Swt. menganugerahimu pahala terbaik."

Aku bertanya kepadanya, "Sahabatku, apa yang telah engkau alami di alam sana?"

Ia berkata, "Aku telah diakui di hadapan Tuhanku Yang Maha Pemurah dan Yang merasa senang denganku. Ia telah memberiku kurnia yang mata tidak pernah melihatnya, telinga tidak pernah mendengarnya dan akal tidak dapat memikirkannya."

Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata, 
"Di dalam Taurat tertulis bahawa Allah Swt. menyiapkan suatu kurnia bagi mereka yang meninggalkan tempat tidurnya untuk menangis kepada Tuhan mereka (dalam solat Tahajjud) yang tidak pernah mata melihatnya, tidak pernah telinga mendengarnya, tidak pernah terpikirkan oleh akal seseorang dan tidak ada seorang pun atau malaikat yang mengetahuinya, dan tidak pernah diketahui oleh siapa pun. 

Allah Swt. berfirman di dalam al Quran :
"Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan." (As Sajdah ayat 17)

Kemudian pemuda itu berkata kepadaku (dalam mimpi), "Allah Swt. telah berjanji kepadaku, bersumpah demi keagungan-Nya. bahawa DIA akan menganugerahiku kehormatan dan kurnia yang begitu kepada semua yang keluar dari dunia seperti aku, tanpa ternodai olehnya"

Penulis Raudh berkata bahawa kisah ini juga telah sampai kepadanya melalui periwayat yang lain. Ditambahkan dalam riwayat ini bahawa seseorang bertanya kepada Harun Ar Rasyid mengenai puteranya. Dia berkata, "Puteraku dilahirkan sebelum aku diangkat sebagai khalifah, diasuh dan diajarkan adab dan sopan santun dengan sangat baik. Dia telah mempelajari al Quran dan ilmu-ilmu agama lainnya. Tetapi ketika aku diangkat menjadi khalifah, dia meninggalkanku dan pergi. Kebesaran duniawiku tidak memberikan kesenangan dalam hidupnya. Dan dia tidak ingin memanfaatkannya sedikitpun. Ketika dia akan pergi, aku meminta ibunya agar memberinya sebuah cincin mutiara yang indah. Namun dia menolak memakainya dan mengirimnya kembali sebelum wafat. Anak itu sangat patuh kepada ibunya." (Raudh)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Harun Ar Rasyid rah.a, mempunyai seorang putera yang tidak menyukai dunia, 
terkenal sebagai khalifah yang sangat soleh dan budiman. Biasanya, jika seseorang yang memilki kekuasaan dan harta kekayaan, suka tergelincir dalam perbuatan-perbuatan buruk, tetapi sejarah membuktikan bahawa beliau banyak terjun dalam hal agama. Ketika masa pemerintahannya, dia solat nafil seratus rakaat setiap hari hingga wafatnya, suka bersedekah dari wang peribadinya seribu dirham setiap hari, juga memimpin pasukan jihad dan beribadah haji dua tahun sekali.

Apabila beribadah haji, beliau membawa seratus alim ulama dan putera mereka bersamanya. Dan pada tahun-tahun ia berjihad,  akan mengirim tiga ratus orang rakyatnya untuk pergi haji dan  menanggung kos perjalanan, makanan dan pakaian mereka. Memberikan layanan dan pakaian yang terbaik untuk mereka, memberi hadiah kepada sesiapa pun yang meminta pertolongannya, dan menolong sesiapa pun atas kehendaknya tanpa diminta. Sangat mencintai alim ulama, yang mendapat penghormatan tersendiri di istananya.

Suatu ketika, muhaddits terkenal Abu Muawiyah ad Dharir (bermakna yang buta) makan bersama Harun Ar Rasyid. Setelah makan, ketika ulama buta itu berdiri untuk mencuci tangannya, khalifah langsung mengucurkan air ke atas tangannya., dan berkata bahawa dia melakukan itu kerana penghormatannya kepada ilmunya.

Abu Muawiyah ad Dharir rah.a. berkata, "Suatu ketika, pada saat aku menceritakan kepadanya tentang hadits Rasulullah Saw. tentang perdebatan antara Adam a.s. dan Musa a.s. ada seseorang laki-laki yang duduk di dekatnya berkata, "Di mana mereka telah bertemu?"

Mendengar hal ini, Harun Ar Rasyid langsung berseru marah, "Mana pedangku? Biar kupenggal leher orang zindiq ini. Ia berani membantah hadits Rasulullah Saw.?"

Dan Harun Ar Rasyid sering menangis keras bila ada nasihat yang ditujukan kepadanya. (Sejarah Baghdad- Al Khatib).





Tuesday, November 23, 2010

Nilai Persahabatan

Petang tadi M datang ke rumah. Masing-masing sibuk dengan macam-macam urusan duniawi (aku harap urusan ukhrawi tak dilupakan). Lama jugak la tak borak2, minum air roselle flower (aku masak sendiri) sambil makan jajan dan baki kueh raya aidiladha di ruang tamu rumahku.  Esok sahabatku ini akan ke Indonesia, Sumatera Barat. Kota Bukit Tinggi. Nama tempatnya yang dipanggil Kubapaten Pasaman (kubapaten=bandar) menziarahi saudara di sana. Lama jugak M ke sana cuti sekolah 10hb Disember baru pulang ke Mesia katanya. M kata nak tepon aku bila dia sampai ke sana nanti. 

Aku harap M dan kuagenye selamat sampai ke sana dan pulang dengan selamat ke Mesia, disamping buah tangan yang aku pesan..hehehe... Aku mendoakan agar M dan sahabatku yang lain dilindungi Allah Taala di mana jua berada. Amin

Ape nilai sebuah persahabatan.. 


Persaudaraan yang sejati, menurut Rasulullah saw. adalah persaudaraan antara dua anak manusia yang diikat oleh tali dan rasa cinta kepada Allah swt. Lalu, mereka hidup bersama kerana Allah, berjuang bersama kerana Allah, dan mati bersama juga kerana Allah. Inilah realiti persaudaraan yang sejati dan abadi. 


Persahabatan, dapat diibaratkan seperti pintu yang akan menghantar manusia menuju surga atau neraka. Mengapa? Jawapannya, seperti dikatakan Ibn Abbas, kerana persahabatan dapat menimbulkan kebaikan dan keburukan sekaligus. ''Tak ada yang dapat merosak manusia selain manusia itu sendiri,'' demikian Ibn Abbas. Agar persaudaraan dan persahabatan itu melahirkan kebaikan-kebaikan, duniawi mahu pun ukhrawi, maka dalam persaudaraan itu harus ditegakkan nilai-nilai atau sifat-sifat yang terpuji. 


Di antaranya adalah sifat saling tolong-menolong dalam kebaikan (Q.S. Al-Maidah, 2), saling berpesan dalam kebenaran (Q.S. Al-Balad, 17), dan saling kasih mengasihi di antara mereka (Q.S. Al-Fath, 29).


Persaudaraan dan persahabatan harus pula didasarkan pada persamaan idealisme dan cita-cita. Dalam kaitan ini, Ibnu 'Athailah, lewat kitab Hikam-nya mengingatkan, ''Jangan kamu bergaul dan berteman dengan orang yang idealisme, cita-cita, sikap, dan perilakunya tidak mendorongmu ke jalan yang benar, iaitu jalan Allah swt.'' Ini  bermakna bahawa, tidak setiap orang layak dijadikan sebagai teman atau sahabat.

Hayatilah nasihat Imam Shafie ini dan jadilah ia sebagai panduan dalam kehidupan seharian..
PERSAHABATAN tulen memang sukar dicari. Hanya mereka yang benar-benar bersahabat dengan hati tulus dan ikhlas dapat mencari erti persahabatan tulen. Dalam hal ini, Iman Syafie ada memberikan nasihat dalam soal persahabatan.
Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati. Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya. Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang.
Semakin ramai aku peroleh sahabat, aku semakin percaya diri. Mencari sahabat pada waktu susah. Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. Pada hal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka. Jika suka melanda, aku sering bertanya: “Siapakah yang sudi menjadi sahabatku?” Pada waktu aku senang, sudah biasa ramai yang akan iri hati, namun bila giliran aku susah mereka pun bertepuk tangan. Pasang surut persahabatan. Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik.
Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tidak ubahnya roda zaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan. Jika aku menjauhkan diri daripada mereka, mereka mencemuh dan jika aku sakit, tidak seorang pun yang menjengukku.
Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak sorai. Mengasingkan diri lebih baik daripada bergaul dengan orang jahat. Apabila tidak ke temu sahabat yang takwa, lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang jahat.
Sukarnya mencari sahabat sejati. Tenanglah engkau dalam menghadapi perjalanan zaman ini. Bersikap seperti seorang paderi dalam menghadapi manusia. Cucilah kedua-dua tanganmu dari zaman itu dan daripada manusianya. Peliharalah cintamu terhadap mereka. Maka, kelak kamu akan memperoleh kebaikannya.
Sepanjang usiaku yang semakin tua, belum pernah aku temukan di dunia ini sahabat yang sejati. Kutinggalkan orang bodoh kerana banyak kejelekannya dan kujanji orang mulia kerana kebaikannya sedikit. Sahabat sejati pada waktu susah. Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan.
Tidak ada yang abadi dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah. Sepanjang hidup aku berjuang bersungguh-sungguh mencari sahabat sejati hingga pencarianku melenakanku. Kukunjungi seribu negara, namun tidak satu negara pun yang penduduknya berhati manusia. Rosaknya keperibadian seseorang.
Dalam diri manusia itu ada dua macam potensi penipuan dan rayuan. Dua hal itu seperti duri jika dipegang dan ibarat bunga jika dipandang. Apabila engkau memerlukan pertolongan mereka, bersikaplah bagai api yang dapat membakar duri itu. Menghormati orang lain.
Barang siapa menghormati orang lain, tentulah dia akan dihormati. Begitu juga barang siapa menghina orang lain, tentulah dia akan dihinakan. Barang siapa berbuat baik kepada orang lain, baginya satu pahala. Begitu juga barang siapa berbuat jahat kepada orang lain, baginya seksa yang dahsyat. Menghadapi musuh.
Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan. Ketika musuhku berada di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan. Aku nampakkan keramahan, kesopanan dan rasa persahabatanku kepada orang yang kubenci, seperti aku nampakkan hal itu kepada orang yang kucintai.
Tipu daya manusia. Mudah-mudahan anjing itu dapat bersahabat denganku kerana bagiku dunia ini sudah hampa daripada manusia. Sehina-hinanya anjing, ia masih dapat menunjukkan jalan untuk tuannya yang tersesat, tidak seperti manusia jahat yang selamanya tidak akan memberi petunjuk.
Selamatkanlah dirimu, jaga lidahmu baik-baik, tentu kamu akan bahagia walaupun kamu terpaksa hidup sendiri. Tempat menggantungkan harapan. Apabila engkau menginginkan kemuliaan orang yang mulia, maka dekatilah orang yang sedang membangun rumah untuk Allah. Hanya orang yang berjiwa mulia yang dapat menjaga nama baik dirinya dan selalu menghormati tamunya, baik ketika hidup mahu pun setelah mati.
Menjaga nama baik. Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, maka tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya. Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirahat.
Dalam hati masih ada kesabaran buat kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras. Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadang kala dibalas dengan sikap tidak sopan. Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya, maka tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat.
Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. Dia akan memungkiri jalinan cinta yang telah terbentuk dan akan menampakkan hal yang dulunya menjadi rahsia.

Wallahu 'Alam

Monday, November 22, 2010

Hormati Guru Keberkatan Ilmu

Teringat ketika aku kecik2 dulu, sekolah rendah.. aku tak berapa suka kat cikgu F.. Pasal time dah bis exam pun dia mesti nak bagi latihan matematik darjah 2. Supaya kami satu kelas tak buang masa katanya. Kadang2 masa cikgu lain pun dia masuk. Time tu budak2 biase le dah habis jawab peksa nak le berseronok je main macam2 dlm kelas... aku dan kekawan yang seangkatan tak bawak buku latihan (buku kotak-kotak/murid akan menyalin nombor yang ditulis di papan hijau oleh cikgu F menggunakan kapur kaler putih dan warna warni) plak time tu..dah exam aku tak bawaklah buku. Hukumannya, aku dikehendaki bediri di atas kerusi n aduii sakit oo cubitan cikgu F..pasal dia suka cubit kat perut. 


Masa kena cubit tu aku seakan redho je menahan sakit kepedihan tanpa sebarang kata..sikit pun tak marah pada cikgu, yang aku fikir sakitnya cikgu cubit. Pasal dia cikgu, aku ni murid je. Darjat dia lebeh mulia dari aku. (aku hormat dia kan..tu pasal aku diam) Ape pun terjadi aku kena ikut cakap dia.. bila naik darjah 4 cikgu F pun bertukar sekolah lain kena ikut laki dia pindah bertugas tempat lain. Aku gumbira jugak dia pindah pasal aku pikir lepas ni dah tak kena cubit lagi...
Beberapa tahun kemudiannye,  aku pulak telah ditakdirkan  jd seorang guru..hehe mcm cikgu F dulu, kena ajar subjek yang sama tapi di sekolah yang lain le. Tujuan cikgu F sama jugak dengan tujuan aku. Kini aku dah faham ape yang dimahukan oleh cikgu F, suruh aku buat latihannn manjanggg.. sebabnya cikgu F mahu aku pandai mengira, ada disiplin, jangan buang masa, bersungguh-sungguh. Banyak lagi yang baik2 cikgu F mahukan.  Terima kasih cikgu F. Moga Allah merahmati cikgu F dan cikgu2 aku yang penah ngajar aku dan cikgu2 yang ikhlas mengajar di dunia ni..

Tahun 2010 hampir menutup tirai..cuti sekolah pun dah datang.. 
Aku dah cuba jadi cikgu yang terbaik untuk anak-anak didik aku untuk tahun ni. Ape yang tak kena perlu diperbetulkan secepat mungkin (bukak sekolah nanti tahun 2011). 

Menuntut ilmu adalah kewajipan yang dituntut ke atas umat Islam.  Kelahiran Rasulullah s.a.w bersama suluhan wahyu telah berjaya mengangkat umat manusia ke arah tamadun yang tinggi berteraskan nilai material dan kemanusiaan. Melalui Al-Quran banyak ditekankan mengenai kelebihan orang yang berilmu, begitu juga melalui rangsangan hadis nabi yang menyeru agar kita menyelamatkan diri kita daripada belenggu kejahilan. 

Cikgu pun sama. Jadilah cikgu yang berilmu.. supaya cerah masa depan dunia akhirat anak-anak Islam diluar sana. Tak suka jadi cikgu baik resign saja, ia umpama membunuh jiwa anak-anak kita. Panjang umor ada la aku sebagai cikgu pada tahun hadapan. InsyaAllah. 
kat bawah ni ada beberapa kisah.. sile la bace

Apa yang mesti kita sedar dalam menimba ilmu pengetahuan ialah mengenai adab yang mesti kita jaga agar kita menjadi orang berilmu dan beradab. Antaranya ketika kita mahu belajar maka buanglah segala keistimewaan samada dari segi harta atau takhta yang masih tersemat dalam diri agar timbulnya perasaan hormat kepada guru dan bersedia untuk menerima ilmu dengan hati terbuka. Jika perasaan tinggi diri terus menguasai diri maka ilmu yang dicari tidak mampu diperolehi dengan sebaiknya kerana sentiasa diganggu oleh perasaan yang tidak suka ditegur, tidak mahu mendengar nasihat kerana sentiasa merasakan diri ini lebih daripada orang lain.

Kita dapat lihat bagaimana sikap rendah diri dan menghormati guru serta membuang segala keistimewaan yang ada pada diri melalui sebuah kisah sebagai renungan bersama di mana Khalifah Harun al-Rasyid yang amat masyhur ketika datang ke Mekah untuk menunaikan haji maka baginda tidak melepaskan peluang untuk menziarahi Madinah. Setelah tiba di Madinah baginda ingin bertemu dengan imam malik untuk belajar secara langsung daripada beliau berkenaan kitabnya masyhur. 

Ketika pesuruh khalifah datang menemui imam Malik untuk menyampaikan hajat khalifah lalu beliau dengan tegas menjawab : “ Sampaikan kepada khalifah bahawa ilmu itu didatangi bukannya ia yang mendatangi seseorang”. Akhirnya khalifah datang sendiri berkunjung ke rumah imam Malik untuk belajar. Semasa berada di rumah imam Malik lalu disampaikan maksud kedatangannya itu iaitu untuk belajar kitab Muwatta’. Ketika mahu belajar maka didapati hanya satu kerusi sahaja yang ada di ruangan tempat belajar lalu imam Malik dengan tegas menyatakan :” Kerusi itu untuk guru dan jika engkau datang untuk belajar maka duduklah bersama dengan murid yang lain”. Maka dengan hati terbuka khalifah pun duduk bersama dengan murid imam Malik yang lain untuk belajar kitab Muwatta’.

Jika rasa rendah diri dan menghormati guru tidak ada maka sudah tentu khalifah Harun al-Rasyid tidak mampu menimba ilmu pengetahuan daripada imam Malik.Baginda telah membuang rasa megah dengan kedudukan sebagai khalifah dengan duduk bersama murid imam Malik yang lain untuk sama-sama belajar. Inilah sikap yang mesti ada pada setiap diri pelajar agar mereka benar-benar belajar dengan baik disamping mendapat keberkatan hasil keredhaan guru.

Pelajar juga mesti duduk dalam keadaan beradab apabila belajar dan jangan lakukan sesuatu perkara yang boleh menyentuh hati guru. Kita lihat bagaimana yang berlaku kepada imam Syafie yang merupakan seorang yang rajin belajar dan kuat ingatan. Pernah suatu ketika beliau datang belajar tetapi tidak mempunyai kalam dan kertas untuk mencatat apa isi penting yang disampaikan oleh guru disebabkan beliau tidak mampu membelinya. 

Beliau hanya mencatat isi penting itu dengan menggunakan lidi yang dibasahkan dengan lidahnya dan kemudiannya ditulis ditapak tangan. Si guru yang melihat telatah imam Syafie lalu memanggilnya setelah tamat kuliahnya. Si guru begitu marah dengan apa yang dilakukan oleh imam Syafie kerana beliau menganggap imam Syafie tidak menumpukan perhatiannya kepada kuliah yang disampaikan sebaliknya hanya bermain-main sahaja dengan lidi. Imam Syafie menafikannya dan menerangkan bahawa dia telah mencatat semua ilmu yang telah diajar oleh guru tersebut di mana beliau turut menerangkan tentang ketidakmampuannya untuk memiliki kalam dan kertas sebagaimana oleh lain kerana tiada wang. Si guru terus mengujinya bagi membuktikan kebenaran dakwaannya itu lalu imam Syafie membaca kesemua isi kitab yang telah dibaca oleh guru tersebut sebentar tadi dan apa yang dicatatkannya daripada isi penting di telapak tangannya itu. Si guru begitu kagum dengan ingatan imam Syafie yang begitu kuat.Inilah ia bagaimana seseorang guru akan terasa kurang dihormati apabila melihat muridnya membuat sesuatu perkara yang tidak menyenangkan hatinya terutama ketika pembelajaran berlangsung. Kita juga dapat lihat bagaimana imam Syafie mampu menjelaskan dengan baik dan sopan kepada gurunya tentang perkara sebenar yang berlaku sehingga guru berpuas hati dan sayang kepada muridnya itu.
Pelajar juga tidak boleh berdendam kepada gurunya sehingga hilangnya perasaan hormat kepada guru yang banyak berjasa mendidiknya. Sebarang kesalahan dan kesilapan guru mestilah dimaafkan kerana mungkin ia sebagai suatu ujian atau pengajaran berguna untuk dijadikan pedoman apabila berada dalam alam yang lebih luas. Jangan banyak menceritakan keburukan yang ada pada guru kepada orang lain sehingga boleh menjatuhkan maruahnya. Tegurlah guru dengan cara yang sopan jika dia tersilap. 


Kita pernah mendengar kisah bagaimana ada seorang Putera Mahkota seorang khalifah yang bakal menggantikan tempat ayahnya sebagai khalifah telah dibawa kepada seorang guru yang alim untuk belajar ilmu pengetahuan. Putera Mahkota ini merupakan seorang yang cerdik dan elok budi pekertinya. Pada suatu hari gurunya telah merotannya tanpa sebab tetapi beliau tidak terus bertanya kepada gurunya itu mengenai perkara tersebut. Setelah beliau besar dan dilantik menjadi khalifah lalu dipanggilnya gurunya itu serta disoal tentang sebab beliau dirotan sedangkan beliau tidak membuat apa-apa kesalahan. Lalu dengan tegas gurunya menyatakan bahawa perbuatannya itu merupakan suatu pengajaran agar anak muridnya itu tidak menyakiti hati rakyat jelata walau pun dengan perkara yang kecil setelah menjadi khalifah nanti kerana doa orang yang dizalimi merupakan doa yang maqbul.Sebagaimana khalifah itu boleh mengingati tindakan gurunya itu maka begitulah juga dengan rakyat yang dizalimi akan mengingati kezaliman khalifah walau pun kecil. Mendengar penjelasan gurunya itu lalu khalifah itu mengucapkan terima kasih di atas segala tunjuk ajar yang telah diberi selama ini




Friday, November 19, 2010

Kisah NABI SULAIMAN Dengan Seekor Semut


Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu, lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini boleh hidup di atas batu yang kering ditengah-tengah padang pasir yang tandus.

Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku".

Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan". Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, diangkatnya semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas, kemudian Nabi mengambil gandum sebiji, dibubuh ke dalam bekas dan ditutup bekas itu. Kemudian Nabi meninggalkan semut di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan. Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman melihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut itu, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut: "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu hanya makan setengah sahaja".

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada diatas batu aku pasti makan apa pun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup ini, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa.

SubhanALLAH...